Selepas beberapa kali mengubah tarikh pernikahan, Elly Mazlein akhirnya disatukan dengan pengarah drama Azmi Mohd Hatta 11.45 pagi tadi.
Majlis nikah berlangsung di Surau As Sakinah. Pemilihan surau berkenaan juga kerana pusara arwah ibunya, Sabariah Yoon yang terletak berdekatan.
Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Syed Hanafi Syed Abdullah sambil disaksikan Penolong Pendaftar Nikah Kariah Taman Putra Perdana, Ahmad Baie Jaafar.
Elly menyerahkan sembilan dulang dan dibalas tujuh dulang oleh suaminya. Elly menerima mas kahwin RM300 dan wang hantaran pula dirahsiakan.
"Dalam gembira segala galanya berjalan seperti dirancang, hati saya bercampur baur.
Sebak kerana ibu sudah tiada untuk menyaksikan hari bersejarah ini. Saya dan suami pun sepakat untuk tidak mengadakan sebarang majlis selanjutnya.
Sebak kerana ibu sudah tiada untuk menyaksikan hari bersejarah ini. Saya dan suami pun sepakat untuk tidak mengadakan sebarang majlis selanjutnya.
"Dengan fasa baru ini, saya mahu menjadi isteri yang terbaik. Suami pun tak menghalang kerjaya lakonan. Selepas ini pun saya tak memilih watak tapi keutamaan lebih kepada rumah tangga. Tawaran berlakon pun saya terima sekitar KL saja," katanya yang anggun dengan persalinan Busana Cinta.
Bergelar ibu segera kepada dua anak tiri, Elly lebih selesa bergelar kawan akrab kepada mereka. Anak tiri Elly kedua duanya lelaki yang masing masing berusia 13 tahun dan 14 tahun.
"Saya tak layak dan tak dapat menggantikan peranan ibu mereka. Cukup mereka menerima kehadiran saya.
"Dengan merekalah saya selalu bersenam termasuk berjoging dan bermain badminton," katanya yang hanya bercuti dua minggu saja untuk berkahwin.
Selesai akad nikah, pasangan pengantin ini diarak ke pusara arwah ibu Elly. Elly dan suaminya akan berbulan madu di sebuah pulau dulu sebelum ke Eropah Januari depan.
Tahniah diucapkan kepada Elly Mazlein dan Azmi Hatta. Semoga ikatan perkahwinan ini berkekalan. Insya Allah