Bob Lokman berdepan risiko mati mengejut

Penulis lirik Isabella mohon bantuan RM60,000 bagi pemasangan alat IADC untuk jantung

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



Bantulah Bob Lokman

Pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 56, diberi pilihan sama ada menjalani pembedahan atau berdepan dengan risiko kematian mengejut berikutan penyakit jantung yang dihidapi sejak lebih 20 tahun semakin kronik.

Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman berkata, berdasarkan penjelasan doktor, dia perlu menjalani prosedur untuk memasang alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC) supaya degupan jantungnya dapat distabilkan.

Picture
Penulis lirik lagu berhantu, Isabella diberi pilihan sama ada melakukan pembedahan atau berdepan dengan risiko kematian mengejut.

"Doktor mengesan penyakit baru iaitu degupan jantung tidak stabil ketika saya mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM, Kubang Kerian akibat masalah jantung, baru-baru ini.

"Keadaan ini menyebabkan kadar denyutan jantung menjadi laju hingga menyukarkan proses mengepam oksigen ke otak. Selepas membuat diagnosis, doktor menyarankan saya memasang alat IADC untuk menstabilkan kembali denyutan jantung.

"Jika tidak dibuat dengan kadar segera, saya bakal berdepan dengan situasi mati secara mengejut," katanya.

Picture
Bob Lokman memuat naik status rayu bantuan dalam laman Facebook. - Foto FB Bob Lokman

Bob berkata, kos yang diperlukan untuk menjalani prosedur itu dianggarkan sebanyak RM60,000.

"Saya masih belum bertemu doktor yang pakar dalam bidang ini bagi mendapatkan kos sebenar pembedahan dan rawatan, tetapi saya difahamkan ia sekitar RM60,000. Buat masa ini, saya akan terus berusaha mencari duit bagi membolehkan menjalani pembedahan dengan segera.

"Saya dimaklumkan, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar boleh melakukan prosedur ini. Jika betul, saya akan cuba dapatkan rawatan di sana," kata penulis lirik lagu berhantu, Isabella dan Taman Rashidah Utama itu.

Dalam pada itu, Bob turut meluahkan perasaan berhubung isu royalti muzik yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Bukan merungut, sebaliknya Bob mendedahkan apa yang berlaku padanya banyak menyedarkan kesilapan yang pernah dilakukannya pada masa lalu.

Picture
Bob Lokman luah perasaan berhubung isu royalti muzik yang sedang hangat diperkatakan. Bukan merungut, sebaliknya apa yang berlaku padanya banyak menyedarkan kesilapan yang pernah dilakukannya pada masa lalu.

"Ketika zaman gemilang dahulu, boleh dikatakan duit royalti diterima cukup lumayan. Dalam skala 100, jumlah royalti yang diterima sebanyak 60 peratus. Tetapi, dalam keadaan sekarang, lagu pun jarang dimainkan, saya hanya dapat sekitar 10 peratus sahaja.

"Walaupun sedikit, saya tetap bersyukur dengan rezeki yang diberi. Dalam situasi sekarang, tiada apa yang ingin dikejarkan lagi. Makan dan pakai sekadar mencukupi. Perniagaan makanan diusahakan isteri boleh membantu menampung kehidupan kami anak beranak," katanya.

Dalam pada itu, pelakon filem Santau dan Jin Notti itu meluahkan rasa terharu dengan sikap prihatin yang ditunjukkan rakan seperjuangannya.

"Terima kasih sudi bertanya khabar dan mengambil berat terhadap diri saya. Terharu dengan sikap teman perjuangan kerana saya sendiri pun tak pasti mampu berbuat demikian jika berada di tempat mereka.

"Pada kesempatan ini juga, saya ingin memohon maaf kepada kenalan industri seni jika melakukan kesilapan atau melukakan hati mana-mana pihak dengan tutur kata, lawak jenaka dan perbuatan sepanjang saya masih aktif dahulu," pintanya.

Bagi sesiapa ingin menghulurkan sumbangan, boleh menghubungi isteri Bob, Relawati Daud di talian 019-3853535.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad