Vokalis kumpulan Bunkface, Sam mengakui bakal menamatkan zaman bujangnya dengan kekasihnya Aida Azila, namun masih mencari masa yang sesuai.
"Saya hanya merancang tapi Allah yang akan menentukannya. Apa yang saya boleh cakap kalau ada rezeki, adalah.
"Saya tidak mahu cakap apa-apa buat masa sekarang kerana takut kalau tidak jadi nanti orang akan bertanya.
"Seelok-eloknya biarlah kalau ianya benar-benar pasti baru saya akan beritahu kepada semua," katanya kepada mStar.
Pada masa sama, Sam turut meminta peminat-peminatnya untuk mendoakan yang terbaik untuk hubungannya.
Dalam perkembangan lain, Bunkface baru-baru ini telah melancarkan album terbaru berjudul "Malam Ini Kita Punya" yang mempunyai tujuh buah lagu termasuk sebuah lagu bonus berjudul "Anugerah Syawal".
Menurut Sam, album ketiga mereka ini berkisarkan tentang perjuangan Bunkface selama lapan tahun dalam industri muzik tanah air.
"Kami biasa akan buat lagu mengikut isu semasa, kali ini banyak lagu adalah tentang industri muzik kita yang sedang merudum sekarang dan tentang perjuangan kami sebagai anak seni.
"Seperti lagu "Malam Ini Kita Punya" adalah meluahkan tentang kepuasan kami selepas berusaha untuk melakukan sesuatu perkara itu sehingga berjaya terutama dalam bidang nyanyian."