Semestinya ada banyak kenangan zaman kanak-kanak yang tidak dapat kita lupakan.
Lebih-lebih lagi apabila sudah dewasa, dan ibu bapa pun sudah menjangkau usia atau sudah pun meninggalkan kita, pasti banyak kenangan bersama mereka yang akan kita pegang sampai bila-bila. Kadang kala apabila teringat, pasti senyuman akan terukir dibibir kita. Bagaimana ibu membelai kita sewaktu tidur, bagaimana ayah sentiasa berada dibelakang kita menyokong tidak kira diwaktu jatuh dan bangunnya kita.Kesemuanya.
Ibu bapa perlu ingat, tiada ertinya anak-anak dilimpahkan dengan kemewahan, tanpa beserta limpahan kasih sayang. Mereka mungkin mendapat apa sahaja yang mereka mahukan, tetapi hakikatnya mereka memerlukan kasih sayang dan perhatian.
Biar bersederhana dalam harta benda, tetapi mewah dengan kasih sayang
Disini saya kongsikan perkara untuk mencipta kenangan indah kepada anak-anak yang takkan mereka lupakan sehingga dewasa.
1. MEMBACA
Perkara yang paling saya tak dapat lupakan adalah apabila emak saya sering meneman saya membaca buku. Sebelum saya pandai membaca, beliau membaca buku kepada saya hampir 2 – 3 kali setiap hari. Apabila saya sudah pandai mengeja perlahan-lahan, beliau akan berada disebelah mendengar, sambil memperbetulkan ejaan saya yang masih pelat diwaktu itu. Disebabkan itu, minat saya untuk membaca bercambah setiap hari.
Kita juga boleh melakukan perkara yang sama kepada anak-anak. Sebagaimana kita menyimpannya sebagai kenangan yang manis, anak-anak juga pasti akan mengingatinya sehingga dewasa.
Jangan berkata “saya tiada masa!”. Andai anda mempunyai masa untuk menonton televisyen atau scroll updates di facebook, masakan anda tidak mempunyai masa untuk membaca bersama anak-anak.
Dengan membaca, anda boleh mengasah minda creativiti anak-anak. Cuba menyuruh anak-anak mereka jalan cerita baru, atau mengaitkan jalan cerita tersebut dengan keadaan realiti sekarang. Anda pasti akan terkesima dengan betapa kreatifnya minda anak-anak ini. Pasti menarik!
Tidak semestinya kita membacakan mereka cerita berbentuk fantasi semata-mata. Cerita Melayu kita juga kaya dengan ilmu dan pengajaran. Kisah-kisah Nabi juga tidak ketinggalan. Mengandungi banyak unsur dan manfaat. Selain dari memberi pengajaran pada anak-anak, kita juga banyak boleh muhasabah diri sendiri dan mengambil pengajaran dari kisah-kisah tersebut.
2. MENDENGAR
Dalam keadaan zaman sekarang, tidak hairan sekiranya kedua ibu bapa sibuk bekerja. Jadi apabila pulang dari pejabat, kita mesti mahu berehat dan memberi masa untuk diri sendiri.
Tetapi jangan sekali-kali kita lupa. Anak-anak memerlukan perhatian kita dan merindui kita tatkala kita sibuk di pejabat. Mereka mahu kita mendengar mereka bercerita kisah di sekolah, menunjukkan hasil karya mereka atau sekadar melayan soalan-soalan mereka.
Jangan sekali-kali berkata “nanti lah. nak tengok tv ni”.
Jadikanlah mereka berasa bahawa mereka adalah priority kita.
Kunci utama untuk mendengar adalah BERHENTI SEKETIKA.
Berhenti seketika membelek facebook di telefon bimbit. Berhenti seketika menonton bola. Berhenti seketika bermain game. Berhenti seketika apa sahaja yang kita sedang lakukan. Bukannya menyuruh anak-anak menunggu kita meluangkan masa untuk mereka.
Tak rugi tertinggal satu babak drama. Tak rugi menangguhkan mengejar high score game. Tak rugi tertinggal satu post facebook.
Paling merugikan adalah apabila anak-anak sudah mula merasakan, mereka tidak penting kepada kita.
Memetik tulisan Ustaz Hasrizal dalam bukunya Aku Terima Nikahnya. Anak-anak yang bermasalah, sebenarnya sering mahukan perhatian dari ibu bapa. Apabila mereka sering meragam, ibu bapa akan memberi perhatian yang cukup pada mereka. Jangan terkejut, memarah dan memukul pun dikira sebagai memberikan perhatian pada mereka. Mereka tidak kisah. Dibandingkan sekiranya mereka berkelakuan baik, ibu bapa akan membiarkan mereka bermain sendirian dan sibuk dengan hal masing-masing.
Jadi, luangkan masa untuk mendengar. Tidak kira betapa remehnya pada anda, ia sebenarnya sangat penting pada anak-anak.
3. MEMELUK
Hakikatnya, tidak kira dewasa atau kanak-kanak, kadang kala kita sangat memerlukan pelukan. Secara peribadi, saya merasakan pelukan itu meredakan ketegangan dan memberi ketenangan. Terasa dikasihi dan diambil berat – tanpa memerlukan kata-kata. Cukup sekadar dengan pelukan.
Begitu juga kepada anak-anak.
Pelukan menggambarkan kasih sayang kita padanya.
Pelukan menggambarkan kesediaan kita berada di sisinya waktu susah dan senang.
Pelukan menggambarkan perhatian kita pada mereka.
Pelukan menggambarkan perlindungan pada mereka.
Tidak kira anak yang masih belum pandai berbicara, atau anak yang sudah meningkat remaja, ketahuilah waktu yang mereka sangat memerlukan pelukan.
4. ADAKAN TRADISI KELUARGA
Saya teringat sewaktu kecil dahulu, hujung minggu adalah waktu masa dihabiskan di perpustakaan. Keluarga kami akan membawa kami ke perpustakaan yang berbeza setiap minggu. Seronok menyulusuri rak-rak buku mengambil mana-mana buku yang menarik. Pergi ke perpustakaan adalah bagaikan tradisi keluarga.
Selain pergi perpustakaan, ayah saya gemar membawa kami ke kedai haiwan terutamanya kedai ikan. Tak tahu kenapa. Seronok melihat ikan-ikan pelbagai jenis dan warna. Kalau nasib kami baik, berjaya la pujuk ayah belikan seekor kura-kura atau beberapa ekor ikan! Sama seperti perpustakaan, kami akan pergi ke kedai haiwan yang berbeza.
Boleh juga menjadikan movie night sebagai tradisi keluarga. Jadikan satu hari di hujung minggu yang anak-anak dibenarkan tidur lambat. Pasanglah apa-apa movie yang menjadi kegemaran keluarga. Buat popcorn, masak burger. Ciptakan suasana seolah-olah berada di panggung wayang. Bezanya, panggung wayang dirumah ada bantal dan tilam yang empuk. Pasti seronok!
5. MAKAN BERSAMA
Makan bersama, tidak kira sarapan atau makan malam. Secara peribadi saya rasakan, makan bersama sekurang-kurangnya sekali sehari boleh menguatkan kasih sayang sesama ahli keluarga.
Lebih-lebih lagi apabila anak-anak meningkat remaja, komunikasi antara mereka dan ibu bapa berkurang. Jadi apabila makan bersama, ibu bapa boleh meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Inilah masa yang sesuai untuk makan bersama, berbual, bertukar pendapat, bertanyakan pengalaman di sekolah, dan mengemas bersama.
6. ANAK KESAYANGAN
Tidak dinafikan, setiap ibu bapa takkan terlepas untuk lebih menyayangi salah seorang anak berbanding anak-anak lain. Saya faham kita tidak bermaksud untuk membeza-bezakan kasih sayang, tetapi ada antara anak yang lebih pandai mengambil hati berbanding anak yang lain.
Cuba kita mengubah tabiat dengan membuatkan setiap anak merasakan mereka adalah anak kesayangan ibu bapa mereka. Kita tak seharusnya memilih hanya salah seorang anak sahaja sebagai anak kesayangan. Kita seharusnya menjadikan semua anak adalah anak kesayangan. Jadikan mereka istimewa di mata kita, dengan karekter mereka yang tersendiri.
7. MERAIKAN
Setiap anak mempunyai karekter yang berlainan. Mereka berbeza antara adik beradik mereka. Pencapaian mereka juga pasti berbeza. Pasti ada yang lebih cemerlang dalam pelajaran berbanding adik beradik yang lain. Ada juga yang lebih petah berbicara berbanding yang lain. Pendek kata, setiap antara mereka mempunyai daya keupayaan dan bakat yang berbeza.
Namun begitu, setiap anak-anak berkongsi kualiti yang sama – mereka memerlukan untuk merasakan mereka berjaya. Tidak kira sejauh mana perbezaan tahap kejayaan tersebut, tetapi ibu bapa harus meraikan mereka secara adil. Sekiranya ada anak pandai membaca seawal 4 tahun dan diberikan hadiah sebuah basikal impian, anak seterusnya juga harus diberikan hadiah impian mereka walaupun mereka pandai membaca agak lewat berbanding abangnya. Hentikan membanding-banding antara anak. Keadaan ini akan membuatkan anak tersebut kurang keyakinan diri dan terasa tidak dihargai.
Marilah membuatkan anak-anak membesar dengan mengatakan “ibu bapa saya percaya pada saya, mereka merupakan penyokong utama saya dalam apa jua yang saya lakukan. Mereka sentiasa memberitahu saya bahawa mereka bangga dengan saya.”
8. BERMAIN!
Kanak-kanak memang dilahirkan mempunyai naluri suka bermain. Suasana persekitaran keluarga yang sering bermain berama bukan sekadar satu pilihan, tetapi patut di wajibkan. Cuba cari suatu aktiviti yang membolehkan setiap ahli keluarga enjoy. Board games, memanjat gunung, memancing, bermain kriket, membaca, menonton wayang, bermain boling atau apa saja aktiviti yang membolehkan masa yang dihabiskan berkualiti dan menyeronokkan. Anak-anak pasti membesar dengan mengatakan “kami sekeluarga gemar menghabiskan masa bersama. Kami bermain bersama dan berseronok bersama”.
9. MENGINGATI
Kehidupan anak-anak terbentuk dengan beberapa moment yang tampak kecil, tetapi indah. Kebanyakan moment tersebut terjadi daripada beberapa event atau peristiwa. Majlis penyampaian hadiah di sekolah, majlis hari jadi, perlawanan sukan, perdebatan pidato, persembahan dan banyak lagi. Moment tersebut sangat istimewa buat mereka – tetapi lebih bermakna apabila moment tersebut membuatkan mereka merasakan bahawa mereka insan yang sangat penting buat ibu bapa.
Apabila ibu bapa menjadi orang yang terpenting dalam moment tersebut, anak-anak akan rasa lebih dihargai. Apabila kita mengingati moment tersebut, kita menghadiri setiap kali majlis penyampaian hadiahnya di sekolah, tidak pernah terlepas menonton acara lumba larinya di sekolah, apabila kita mengambil gambar mereka dengan penuh bangga, melambai dengan penuh keterujaan, anak-anak tidak akan lupa sampai bila-bila.
10. MENYAYANGI
Terakhir tetapi paling utama, KASIH SAYANG. Kasih sayang merupakan perkara yang paling utama dalam suatu perhubungan keluarga. Tidak kira semarah mana kita padanya, sebenci mana sikap seseorang pada kita, asalkan kita mengasihinya, kita pasti tidak akan meninggalkan atau mengabaikannya. Apabila kita menyayangi anak-anak, kita membina karekter mereka, kita akan sentiasa berdoa semoga Tuhan memberikan apa sahaja yang terbaik buat mereka. Kita membuatkan mereka merasakan mereka adalah unik, memberi inspirasi kepada mereka untuk menemui minat dan bakat sebenar mereka, membimbing mereka, mengajar mereka dan paling penting, belajar dari mereka.
Kesimpulannya..
Kenangan bukanlah percuma, namun kosnya sedikit pun tidak melibatkan wang ringgit, tetapi masa. Semuanya bergantung kepada kita untuk bagaimana membuatkan setiap moment tersebut berharga. Setiap anak-anak layak untuk mendapat zaman kanak-kanak yang indah. Janganlah mensia-siakannya.
Semoga bermanfaat! Wassala.
Rumahtangga Harmoni Keluarga Bahagia