KISAH MENYAYAT HATI : RELAKAN DIA PERGI , ALLAH KAN ADA!





Allah Kan Ada!


Assalamuailakum.
~ Al-Fatihah ~
11.4.2014 - genap sebulan.

Dugaan FAD tak terfikir dek akal. Tak terfikir langsung.
---------------------------------------------------------------

Muhammad Sufi.
Pengalaman terindah. Masih lagi terngiang-ngiang gerakannya. Tepat 37 minggu dalam perut, masakan boleh lupa dalam sekelip mata. Namun, FAD mengambil masa untuk melupakan. Seorang ibu tak mudah. Terlalu berat.
Bermulalah cerita baru dalam hidup FAD. Kehamilan. Awal kehamilan hingga ke akhir semuanya baik, cuma adakalanya di akhir-akhir tu FAD semalaman tak dapat tidur, kadang-kadang tu asyik nak tidur saja.

Sholeh?
Alhamdulilah, dia berkorban untuk berpindah kesini sebelum FAD bersalin. Rezeki anak.

9/3/2014 - Ahad

FAD sedar awal pagi tu. Perut mengeras tapi belum ada tanda nak bersalin. Start rasa tak sedap hati, lepas solat subuh terus bagitahu Sholeh perut FAD mengeras tapi tiada movement dari baby. Kebetulan memang ada appoitment checkup dekat hospital bersalin pagi ni. Appoitmnet checkup pukul 11.30am tapi pukul 8am kami sudah bergerak ke hospital. Dalam perjalanan ke hospital, FAD sempat berseloroh dengan Sholeh,

FAD : "Rasanya macam check in hospital harini"
Sholeh : "Eh, tak lah..."

sebelum jumpa doctor, kami sempat breakfast dulu. Perut masih mengeras tapi kali ini, FAD dapat rasa pengerakan dari baby tapi perlahan, alhamdulilah sedikit rasa lega masa tu. Dalam hati terfikir, mungkin baby dah penuh dalam perut, tu yang pengerakannya agak perlahan.
Namun, dalam hati memang tak putus berdoa. Memang berdebar-debar, kali ni lain macam rasanya tapi kuatkan juga. Bila masuk jumpa doctor, masing-masing tersenyum riang. Kami berbual dalam keadaan yang gembira sampailah masa untuk scan baby.

----------------------------------------------------------------

"YA ALLAH kau kuatkan iman aku YA ALLAH, lindungilah aku dan kandungan aku dari bahaya YA ALLAH.........."

Suka atau tidak, bersedia atau tidak, dugaan tetap akan datang.

Seakan tak percaya......Sholeh bertanya,
Sholeh : "Doktor, apa maksud doktor sudah tiada?"
Doktor : "Sholeh, Fadzilah, anak awak sudah tiada"


Tergamam.....

Doctor mengesahkan baby dalam kandungan sudah tiada. Baru beberapa jam. Ya allah, keadaan ketika itu seakan terhenti. Doktor terdiam. Kami terperanjat. Doctor scan berulang kali. Tali pusat tidak terbelit, air mentuban masih lagi cukup cuma, tiada pengerakan, tiada dengupan jantung dari baby. Sekelip mata!

FAD?
Beberapa jam? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Kenapa FAD tak perasan?. FAD tertanya-tanya. Inalillah wa Inna ilaihi rajii'un. Air mata mula mengalir. Sholeh masih lagi tenang dan kuat! Doktor terus membuka keseluruhan record kesihatan FAD. Dari A ke Z, doktor teliti.

Doktor : "Record cantik. Tadi saya ingat awak ada darah tinggi atau kencing manis, tapi record awak semuanya okay, tiada masalah. Kedudukan baby pun dah kebawah. Memang tunggu nak bersalin je ni."
FAD : "Tapi doctor, tapi masa breakfast saya rasa pengerakan dia"
Doktor : "Awak rasa dia bergerak sebab baby mula menjauhi dari perut awak"
FAD : "Betul ke doktor dah tiada?"
Doktor : "Betul, tiada pengaliran darah dalam badan baby lagi."

Doktor macam tak sanggup nak teruskan percakapannya. Doktor dan Sholeh pengang erat tangan FAD.

Doktor : "Fadzilah, awak kena reda, sabar, kuat! Dalam perut kita tak tahu apa yang berlaku. Jangan salahkan diri atau apa. Kita akan tahu punca sebenar bila awak melahirkan baby ini nanti, sekarang awak kena admit sebab kami akan induce awak untuk keluarkan baby ini. Baby awak dalam keadaan yang masih baik cuma dia dah tidak bernyawa. Dalam keadaan macam ni, kita kena back to basic, ingat Allah, ingat ini semua takdir Allah. Awak kena reda dan sabar".


Mengigil....

Kuatkah FAD? Mungkin ada kata FAD gila atau terlalu ghairah. Kebarangkalian untuk baby survive tipis. Bukan tipis, memang sudah tiada. Tapi, mana ada ibu yang tidak berharapkan keajaiban. Apa yang akan berlaku adalah diluar bidang kuasa FAD. Lebih-lebih lagi disaat-saat kita sedang menanti hari sahaja. Namun, siapa kita untuk mempersoalkanya?

Admit...
Akhirnya, Sholeh menangis, kami menangis. Ini kali kedua FAD nampak dia menangis sepanjang perkahwinan kami. Pertama, ketika ijab dan kabul kami. Sholeh kuat, menangis cuma seketika.

Sholeh memapah dan memeluk erat FAD, tidak sekali pun dia melepaskan. Dia tahu FAD lemah ketika itu. Sejurus urusan kemasukan hospital selesai, Sholeh menghubungi keluarga di kampung. Ternyata semuanya terkejut. Sukar untuk FAD ceritakan keadaan di kampung ketika itu. Rasa sedih menyelubungi keluarga lebih-lebih lagi mak dan mak mentua. Sedih kerana FAD. Perasaan seorang ibu. Masing-masing faham kepayahan mengandung 9 bulan.





10/3/2014 -Isnin


Hari ke - 2, jalan baru buka 3cm. Disebabkan tiada gesaan, pembukaan jalan untuk bersalin mengambil masa yang agak lama. Sepanjang admit, masih mengharap keajaiban dari Allah. FAD semakin lemah, mungkin sudah semalaman bertarung menunggu pembukaan jalan untuk bersalin. Pagi di wad, FAD dan Sholeh membaca surah Yassin buat Sufi. Iya, Sufi. SUFI adalah nama akan diberi,sekiranya perempuan atau lelaki baby kami nanti.






11/3/2014 - Selasa

Hari ke - 3. Pagi ni, FAD tak dapat baca Yassin dengan Sholeh, FAD kian lemah. Sholeh bacakan Yassin disisi, hingga FAD terlelap. Sholeh takut, lalu dikejutkan FAD. Kami berbual, berbual tentang segala-galanya, tentang masa depan, tentang anak, tentang cinta, tentang tuhan. Dalam keadaan sakit, air mata ini mengalir lagi. Mudah benar ia tumpah. Sudah terlalu banyak tertumpah. Sholeh tidak mahu FAD terus melayan perasaan.





Sedih...

Lumrah manusia, bila ditimpa musibah akan bersedih. Usah ditanya tentang sedih kepada FAD. Kala diberi ujian sebesar ini, FAD kecundang. Betapa diri ini lemah. FAD malu pada ALLAH. Ya Allah........ampunkan aku. Segera sembunyikan kembali tangisan yang masih bersisa. Kami yakin Allah ingin ganti dengan sesuatu yang lebih baik nanti. Amin.


This is the time.....


Allahuakhbar, sekitar pukul 2 pm, air mentuban FAD pecah di atas katil wad, ketika itu jalan dah buka 4.5 cm. FAD sudah bersedia untuk bersalin. Kebetulan ketika itu Sholeh baru sahaja selesai solat Zohor. Sepanjang situasi itu, insan terpenting dalam hidup ada di sisi iaitu MAK, AYAH dan SUAMI. Ayat al-quran tak lekang dari mulut mereka.

Ini satu perjuangan!
Badan FAD terlalu lemah. Dalam keadaan FAD ‘sibuk’ contraction, atas nasihat Mak, Sholeh menyuapkan FAD makanan memandangkan FAD masih belum menjamah makanan lagi. Itulah tenaga yang FAD ada.

Antara hidup dan mati, memang nyawa dihujung tanduk semata-mata hendak melahirkan zuriat dari darah daging sendiri. FAD disorong ke labor room (LR). Detik melahirkan hanya Allah saja yang tahu. Sholeh masuk ketika FAD hendak bersalin. Sholeh tahu FAD perlukan dia masa tu. Alhamdulilah, 4 kali teran, akhirnya FAD berjaya membawa keluar SUFI dengan izinNya. Bukan membawanya untuk melihat dunia, malah untuk terus ke Syurga ALLAH. FAD selamat bersalin secara normal, dengan mudah. Subahanallah. Terima kasih ya Allah.






Tepat 3.02 pm, seorang bayi lelaki untuk kami dengan seberat 3.08kg. Itulah Muhammad Sufi. Lahir sahaja Sufi, rasa lega yang paling ditunggu-tunggu. FAD rasa ada titisan air jatuh ke dahi FAD. Sekali lagi, Sholeh menangis, dia menyaksikan segalanya. Sholeh senyum dan kucup dahi FAD sebelum dia keluar untuk menguruskan jenazah Sufi.

Siap saja urusan di LR, FAD terus dibawa masuk ke wad semula untuk berehat. Mak dan Sholeh menuggu FAD dengan rasa bersyukur. Sedih bercampur gembira. FAD sedar, hari itu FAD satu-satunya ibu yang tidak mendengar, maaf, tidak AKAN mendengar tangisan suara dari anak sendiri.

Sementara menunggu process pengurusan surat menyurat untuk membawa Sufi balik ke kampung untuk pengkebumian, kami sempat berborak,

Sholeh : "Terima kasih sayang, sayang memang kuat! Sayang berusaha keluarkan Sufi walaupun sayang tahu Sufi sudah tiada."
FAD : "Takpe abang, saya akan simpan kenangan melahirkan Sufi ini baik-baik. Allah telah simpan dia. Dia telah keluar, dia telah pergi, dia anak kita."


Mak, hanya mampu mengalirkan air mata. Mak terlalu faham perasaan seorang ibu.





Selang beberapa minit, nurse datang membawa jenazah yang siap dimandi dan dikafankan. Wangi baunya. Kami buka kain dipermukaan muka Sufi.
-----------------------------------------

FAD : "Comel anak kita bang..."
FAD dukung lalu menciumnya, dahi ke pipi. Rambut - lebat. Mulut - merah. Rasa lembut dan sejuk. Bau wangi yang FAD tak pernah bau selama ini. Bau yang tidak dapat FAD membelinya.

Sholeh : "Ikut raut muka sayang...sejuk perut sayang mengandungkan anak kita, tapi.......tinggi macam abang." Sholeh berseloroh.

kali ini, setitis pun air mata FAD tidak mengalir. Tidak tahu kenapa tapi rasa puas dapat menatapnya. Saat akhir untuk melihat jenazah Sufi, tenang dan bersih. Kami kucup dahi dan pipinya buat kali terakhir seakan-akan lirik mata Sufi mengikuti wajah kami. Sayu. Sholeh peluk kami bertiga.

Bergegas....

Memandangkan hari sudah semakin petang, kami tidak sempat berbual panjang. Jenazah Sufi terus dibawa balik ke kampung kerana pengkebumian akan dilakukan sejurus selepas solat Isya'. Sholeh balik ditemani emak. Sepanjang perjalanan KL - Muar, emak memangku cucunya. Ahli keluarga, saudara mara, orang surau dan beberapa orang kampung sudah bersiap sedia di rumah.

Sholeh sampai tepat waktu azan Isya' berkumandang. Sholeh membawa anaknya untuk tatapan terakhir ahli keluarga. Suasana hiba. Amat hiba ketika itu. Sholeh tidak berkata apa-apa malah tidak menangis kerana dia tahu dimana tempat Sufi akan berada. Sufi pergi tanpa dosa. Pergi dengan sempurna. Dan akhirnya jenazah Sufi selamat dikebumikan.

--------------------------------------

FAD tidak dibenarkan balik untuk bersama-sama melihat pengkebumian Sufi. Malam tu FAD bersendirian, tidur bertemankan bau Sufi yang masih melekat pada baju. Bunyi macam seram tapi itulah satu-satunya malam yang FAD tidur lena. Lena sangat.

Punca:
Di LR, sejurus selepas Sufi keluar dari rahim FAD, doctor terus menyiasat punca kematian. Ianya berpunca dari tali pusat terlipat, membuatkan nutrisi tidak sampai kepada baby dan terputus oksigen lalu membuatkan tali pusat itu membengkak. Doctor menunjukkan tali pusat tersebut kepada kami. Memang betul, kami nampak tali pusatnya membengkak sedikit di bahagian yang hampir dengan pusat baby. Bahagian itu terlalu dekat dengan urinya.







- Tamat -



Terima kasih:

Terima kasih Allah kerana bagi FAD peluang rasa nikmat ini walaupun sekejap. Walaupun hanya 9 bulan 7 hari dipinjamkan Sufi dalam perut ini. PRICELESS. FAD akan simpan baik- baik kenangan indah ini. FAD bersyukur dapat merasai pengalaman mengandung dan melahirkan walapun tidak berpeluang menjaganya. Terus terang, hingga ke saat ini, air mata mengalir jika ingatan dan rindu datang menyapa.
------------------------------------
Terima kasih Sholeh, memberi harapan, keyakinan, kesetiaan dan cintanya kepada FAD. Saya cintakan abang sehujung kuku, walau selalu dipotong, ia akan selalu tumbuh.


------------------------------------
Terima kasih Hospital Pakar Al – Islam yang memberi 100% perkhidmatan terbaik. Staff, nurse dan doktor sentiasa peka dan mahir dalam urusan masing-masing.
Sebelum discharge, FAD sempat bertemu doctor dan nurse-nurse yang menjaga FAD selama 3 hari disana. Ucapan terima kasih memang tak lekang dari mulut FAD.
Doctor memeluk sambil berkata : “Bukan saya yang memudahkan urusan awak disini, tapi Allah.”
Kami menangis, malah nurse-nurse turut mengalirkan air mata. FAD admit berdua dan discharge pun berdua. Insyallah, FAD akan kesini lagi untuk anak-anak akan datang. Ameen.
---------------------------------
Terima kasih ahli keluarga, saudara mara dan jiran tetangga yang merasai kehilangan dan turut menangis bersama-sama. Anda membuat FAD kuat. Berpantang di kampung adalah perkara yang paling hebat. Tidak sekali mereka membiarkan FAD keseorangan yang adakalanya FAD memang mahu sendirian.
----------------------------------
Terima kasih para sahabat. Ketika FAD masih di hospital lagi, tak lekang dari kehadiran kawan-kawan. 2 3 kali datang untuk bertanyakan khabar. Memberi FAD semangat dan bersama-sama berkongsi kesedihan. Menghiburkan FAD, ketika FAD tidak mampu tersenyum.

Kawan - kawan dari jauh sanggup turun ke Muar untuk melawat, sedangkan ketika itu FAD masih belum bersedia untuk bertemu dengan orang ramai.


TERIMA KASIH SEMUA!


Motivasi:
Alhamdulilah. FAD dan Sholeh sudah reda, sabar dan kuat dengan apa yang diberi oleh Allah. Walaupun reda, sabar dan kuat ini adalah perkara yang paling perit sekarang, tapi kami percaya ada gembira di akhirat nanti. Kami sentiasa menadah tangan untuk memujuk dan pujuk rayu Allah kerana ketika dan saat ini hati kami sangat merintih. Merintih kepada Allah kerana Allah suka orang yang merintih kepadaNya. Kami mahu meraih hikmah besar ini dariNya. Tapi hati perempuan, hari ini kuat, esok lusa tak tentu lagi. Terkadang, FAD seakan putus asa. Ketika rasa itu datang, hanya doa dan zikir sebagai peneman, sebab reda dan sabar tak semudah dikata. Tapi, ini janji Allah bahawa orang yang beriman pasti akan diuji.


“Aku dah taat perintah Allah, aku dah solat, aku dah baca al-quran, aku dah sedekah, aku dah zakat, tapi kenapa aku diuji?”. Lalu Allah bagitahu, “Jangan sesekali kamu kata kamu beriman, kalau kamu tidak diuji, jangan kamu fikir kamu akan masuk syurga, sedangkan kamu tidak diuji seperti orang-orang dan para nabi sebelum kamu.”
Subhannallah.
Dalam 1 hadis kursi, ada mengatakan, “Kalau hambaKu datang kepadaKu berjalan, Aku datang pada dia berlari, kalau hambaku datang kepadaKu berlari, Aku datang kepadanya sepantas kilat”.
Ujian hanya untuk orang yang layak menerimanya.
Kenapa FAD? Kenapa Allah ambil anak FAD? Kenapa bukan orang lain?
Kerana, Allah telah tilik satu persatu, berkali-kali hati ini, lalu Allah bagitahu, orang ini sangat layak menerima ujian ini dari Aku. Bukan semua orang, tapi setiap diri masing-masing ada takdir mereka sendiri. Wallahu a’lam. Hanya Allah yang lebih mengetahui. Bagaimana FAD menyiapkan diri dengan ujian yang tidak diduga ini?.
Pandang orang lain yang lagi hebat diuji, tentu kita akan rasa betapa kecil dan tak seberapa ujian yang Allah berikan untuk kita rasai.
Rasullulah saw, walaupun setiap hari tersenyum, tapi hari-hari nabi menangis dalam doanya. Rasullulah saw kehilangan orang tersayang. Cuma kesedihan kita dan kesedihan nabi itu sangat berbeza. Baginda kehilangan ibu, ayah, isteri malah 3 orang puterinya. Tetapi tetap tabah lalui hari-harinya.
Kehilangan Yusof. Ayahnya kehilangan anak yang paling disayangi. Namun Allah lebih tahu apa yang dirancangkan.
“Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar. ”
Wahai Allah, anak aku Kau punya, segala-sagalnya Kau punya Ya Allah. Kau adalah yang berhak memberi dan Kau juga berhak mengambilnya.
Sedikit kita berfikir, berdoa, berzikir, merintih tapi nilainya besar disisi Allah.
Ada orang, Allah bagi mata. Allah bagi pinjam sampai 17 tahun. Sihat. Tapi bila 17 tahun sakit, Allah ambil matanya. Sebab mata itu siapa punya? Allah punya.
Ada orang, Allah bagi anak sampai umur 21 tahun. Tiba-tiba kemalangan. Allah ambil anak dia, sebab apa? Itu hak Allah.
Itu hak allah. Allah maha mencipta dan kita adalah mahluk yang dicipta yang perlu akur dan tunduk kekuasan dan kehendakNya.


Adakah sedih dibenarkan dalam agama? Jawapannya, ya. Tetapi ada batasnya.

Hikmah:


Yakinlah, ada hikmah dan rahmat disebalik dugaan ini. Kematian adalah sesuatu yang pasti dan apabila sampai waktunya semua kita pasti akan menghadapinya. Malah kalau menyorok dalam gua sekali pun Malaikat Maut akan tetap datang juga.


Hadis riwayat Abu Hassan radhiyallahu’anhu, ia berkata:
"Saya mengatakan kepada Abu Hurairah, bahawa dua orang anakku telah meninggal dunia. Adakah berita (hadits) Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang dapat engkau sampaikan kepadaku yang dapat menyenangkan hati kami berkenaan dengan anak kami yang meninggal itu. Abu Hurairah menjawab: Ada! Anak-anak kecil (yang meninggal) menjadi kanak-kanak syurga, ditemuinya kedua ibu bapaknya, lalu dipegangnya pakaian ibu bapaknya - sebagaimana saya memegang tepi pakaian ini – dan tidak berhenti (memegang pakaian) sampai Allah memasukkannya dan kedua ibu bapaknya kedalam syurga." (Hadis Sahih Riwayat Muslim : 2635-1524)


Anak ini insyaAllah menjadi penghuni syurga. Oleh itu bersabarlah dengan setiap ujian yang menimpa dalam hidup kita. Ganjaran sebenar bagi kita adalah di sisiNya.




Wallahu a’lam. Hanya Allah yang lebih mengetahui.


Wassalam~


Relakanlah dia pergi…ALLAH KAN ADA!

kredit asal
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad