Antara 10 Lokasi Bulan Madu Paling Popular di Malaysia



10 Lokasi Bulan Madu Paling Popular di Malaysia

Berbulan madu di Malaysia telah berubah seiring peredaran zaman. Berikut adalah ranking 10 tempat bulan madu paling popular di kalangan rakyat Malaysia:

1. Cameron Highlands, Pahang



Untuk pasangan yang suka aktiviti luar Cameron Highlands adalah destinasi yang sesuai dengan cuacanya yang nyaman dan suasana sunyi. Bukit resort Malaysia ini terletak kira-kira 4900 ke 5900 meter dari aras laut di atas Banjaran Titiwangsa. Kalau nak cari tempat romantik memang tak susah. Pergi saja ke Taman Ros atau nurseri-nurseri yang dipenuhi bunga-bunga berwarna warni. Suap mulut pasangan anda dengan strawberi segar dari ladang. Nikmati suasana yang romantis dengan secawan teh panas dan skon di Ladang Teh Bharat, sambil melihat keindahan ladang Teh yang luas. Anda boleh sampai ke Cameron highlands dengan menggunakan jalan dari Tapah yang mengambil masa lebih kurang sejam. Aktiviti jungle-trekking ke hutan-hutan berhampiran dalam bentuk pakej juga disediakan.

2. Pulau Langkawi
 Di pulau legenda ini terdapat banyak lokasi untuk pasangan baru berkahwin menikmati bulan madu dengan ketenangan dan penuh privasi. Dua tempat pilihan untuk berbulan madu adalah Teluk Datai dan Tanjung Rhu. Terletak di utara pulau Teluk Datai menjadi lokasi resort mewah. Ada pantai hanya ekslusif untuk penginap hotel, dan mereka yang baru berkahwin boleh menikmati pemandangan laut yang indah ibarat permata menghadap negara Thai. Kira-kira 20 kilometer dari Teluk Datai di mana terletaknya Tanjung Rhu (juga dikenali sebagai Casuarina Bay) yang memiliki pantai dengan air laut memukau menghadap Laut Andaman. Semasa air surut, anda dan pasangan boleh ke Pulau Pasir dan Pulau Gasing. Di kawasan paya berhampiran ajaklah pasangan anda memberi makan kepada helang dengan tangan. Kepada yang nak membeli-belah untuk rumah baru harus ke Kuah di mana barangan dijual adalah bebas cukai.
3. Pulau Redang, Terengganu
Terkenal di kalangan rakyat Malaysia yang suka bercuti ke pulau di sini letaknya tempat menyelam yang pastinya tidak boleh dilepaskan oleh mereka yang sukakan aktiviti ini. Jelajah tinggalan kapal perang dunia kedua H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse di lantai laut yang jernih dan jelas dilihat. Pemenang Kementerian Pelancongan Malaysia dalam “Anugerah Tarikan Pelancong Terbaik” Pulau Redang memiliki sebilangan hotel dan resort bertaraf empat ke lima bintang dan juga padang golf 18 lubang. Pantai Pasir Panjang yang indah pastinya melambai anda dan pasangan untuk ke sana. Anda boleh cuba aktiviti snorkeling di pulau-pulau kecil (Pulau Pinang dan Pulau Ekor Tebu) yang terletak berhampiran. Lokasi berbulan madu ini terletak 45 kilometer dari Kuala Terengganu.
4. Genting Highland, Pahang
Terletak megah di atas puncak Gunung Ulu Kali berketinggian 2000 meter tinggi Genting Highlands menawarkan percutian ala Disneyland. Cubalah roller coaster, masuk ke rumah hantu atau mainan lain yang terdapat di taman tema beriklim dingin ini. Untuk suasana lebih romantik anda boleh menunggang kuda di Ladang Kuda Awana. Untuk ke sini mengambil masa 45 minit perjalanan dari Kuala Lumpur.
 5. Bukit Tinggi (Colmar Tropicale), Pahang
Bukit Tinggi atau Berjaya Hills Resort ialah tempat peranginan di Pahang, Malaysia berdekatan Genting Highlands. Ia terkenal dengan kampung tema Perancis, Colmar Tropicale. Lokasi ini sesuai bagi pasangan yang sukakan suasana privasi, santai dan romantik. Antara tempat menarik yang boleh dilawati di sekitar Bukit Tinggi adalah The Chateau Spa Resort, Bukit Tinggi Golf and Country Club, Meranti Park Suites, Japanese Tea Garden, Taman Arnab.
6. Pulau Tioman, Pahang 
Pada tahun 1970 majalah Time telah menobatkan Pulau Tioman sebagai satu dari sepuluh lokasi “pulau untuk anda yang inginkan ketenangan” di dunia. Tioman memiliki lanskap yang menakjubkan dengan hutan hujan malar dari bukit yang menjadi titik tengah pulau sehingga ke pasir putih memeluk pantai manakala di selatan pulau terdapat dua puncak dinamakan Nenek Si Mukut dan Batu Sirau. Bawalah pasangan anda mandi-manda di Air Terjun Mukut yang turun dari puncak granit. Kepada yang sukakan suasana romantik dan sunyi bersama si dia bolehlah melalui satu jalan denai ke Tekek, arah utara dari Salang dan arah selatan dari Genting. Pulau Tioman adalah destinasi terunggul dalam aktiviti snorkeling dan penyelaman, dan terdapat banyak pusat penyelaman PADI di hotel-hotel. Untuk suasana malam yang romantik cubalah menjamu selera di satu dari banyak restoran menghadap laut.

7. Pulau Pangkor Laut, Perak
Memetik kata Luciano Pavarotti penyanyi tenor tersohor semasa pembukaan resort eksklusif pulau itu pada tahun 1994, “Aku hampir menangis ketika melihat betapa indahnya syurga ciptaan Tuhan ini.” Pantai Emerald Bay di pulau ini dengan pasir memutih dan air jernih bak kristal adalah syurga dunia bagi pasangan yang ingin mandi, berjemur atau bercanda di pasiran pantai. Coral Beach dikenali sebagai tempat untuk aktiviti snorkeling dan Royal Bay untuk yang gemar aktiviti pelayaran. Chalet-chalet mewah dengan binaan berunsur Melayu dan Bali, dengan pandangan ke laut luas atau bukit menghijau menambah suasana romantik untuk pasangan yang baru berkahwin. Kemudahan lain seperti jakuzi, mandi sauna, spa dan restoran juga disediakan. Untuk ke Pangkor Laut anda boleh menaiki bot selama 40 minit perjalanan dari pekan Lumut. Kepada yang ada bajet lebih bolehlah menaiki kapal terbang ke Pulau Pangkor yang terletak berhampiran dan menaiki bot selama 15 minit ke Pangkor Laut.
8. Cherating, Pahang

Pernah terkenal sebagai syurga “backpackers” Cherating memiliki tarikan yang tersendiri. Pantai yang panjang dihiasi pohon-pohon kelapa yang melambai dan rumah-rumah nelayan. Senario yang mengusik jiwa apatah lagi jika anda sudah lama tidak ke kampung halaman, tambahan orang-orang kampung di sini ramah belaka. Disamping berbulan madu anda dan pasangan boleh cuba membuat batik sendiri atau belajar seni menyulam menggunakan daun pandan untuk dijadikan topi dan bakul. Jika anda berkunjung pada Julai hingga September anda mungkin berpeluang melihat penyu-penyu hijau datang bertelur di Pantai Chendor. Cherating terletak kira-kira 30 kilometer dari utara Kuantan.

 9. Batu Ferringgi, Pulau Pinang

Atau nama lainnya “Batu Orang Asing” tempat ini telah menarik ramai personaliti di zaman silam. Laksamana Portugis Alfonso D’Albuquerque singgah di Batu Feringghi pada 1511 sebelum belayar ke selatan untuk menakluk Melaka. St. Francis Xavier singgah di sini pada 1545 dan Kapten James Lancaster yang membuka Syarikat Hindia Barat mendarat di Batu Ferringhi pada 1600. Pada hari ini, pasangan yang ingin berbulan madu memilih untuk tinggal di resort-resort atau melakukan aktiviti sukan air bersama di tepi pantai yang indah. Bawalah isteri atau suami berjalan-jalan di kedai antik atau galeri seni, dan pergi menikmati ikan bakar Penang yang enak.

10. Tanjung Aru, Sabah

Pantai Tanjung Aru terletak lebih kurang 15 minit perjalanan dari Kota Kinabalu. Selain mandi-manda dan berehat di pasiran pantai anda boleh cuba menunggang kuda. Berjalan berpegangan tangan di Taman Putera Philip atau menjelajah pulau-pulau berhampiran dan memancing laut dalam di Laut China Selatan. Bawalah si dia menaiki bot dengan dasar gelas untuk menikmati kecantikan terumbu karang diluar jangkaan di Taman Negara Tuanku Abdul Rahman. Kesemua lima pulau di taman negara laut juga memilki pantai-pantai yang indah dan hutan-hutan dengan jalan denai. Anda disyorkan menginap dai resort lima bintang di Tanjung Aru untuk saat berbulan madu yang tidak luput diingatan.
 sumber: http://shop4men.com.my, http://erylife.blogspot.com, wikipedia
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad