MARI MENGUTIP SEMULA JALUR GEMILANG MALAYSIA YANG BERTEBARAN


MENGUTIP SEMULA JALUR GEMILANG YANG BERTEBARAN

Kelmarin 2 orang co-founders kami pulang dari China setelah lebih seminggu berkelana dalam rangka pembelian barangan untuk keperluan Tahfiz Akedemi Insan Prihatin dan Wakaf Enterprise.

Mereka berempat berangkat ke China seminggu lalu dengan semuanya memakai T-shirt yang membawa mesej sokongan kepada MAS. Hanya 2 orang yang berangkat pulang kerana 2 orang lagi terpaksa menunggu di sana untuk menguruskan kontena.

Sebenarnya, kami sering bersama seperti keluarga dan jarang berpisah. Sebaik saja kami yang menjemput bertemu di KLIA, masing masing berpeluk pelukan penuh keriangan. Sepanjang perjalanan dari KLIA masing-masing tidak kering gusi. Sampai di rumah, disambut oleh barisan anak-anak yang berselawat dan marhaban seolah-olah sudah bertahun mereka berpisah.

Kerinduan amat terasa dan sebahagiannya diceritakan bersama rakan-rakan dalam majlis dipan-dipan malam tadi. Hari ini ada dinukilkan sebahagian isi hati itu di status Saiful Nang. Kami dapat rasakan ia satu luahan bersahaja yang WAJIB KITA KONGSIKAN jika kita sayangkan negara.

Kami pasti anda yang sering atau pernah ke luar negara akan bersetuju dengan luahan hati dari Haji Saiful Nang ini. Sesuai dengan ketibaan sambutan Hari Merdeka ini, sukalah kami kongsikan nukilan ringkas itu buat muhasabah kita bersama.

MH17 : BILA AKU MENDONGAK KE LANGIT DAN SENYUM LALU KAU KETAWAKAN AKU...NESCAYA KAU AKAN KU LEMPANG KUAT-KUAT!

Beberapa minggu di perantauan untuk urusan kerja jangkapendek cukup lama juga untuk buat kita rindu bau tanah dan udara Malaysia. Biarlah jerebu mahupun berbau, tanah ini tanah aku. Dari baju kulit kambing bertukar baju t-shirt senipis "Pagoda" pun rasa macam nak buka juga panasnya Malaysia ni tapi ini tanah aku... panas-panaspun aku suka.

13 Jam terbang dari O'hare Chicago sampai ke Hong Kong menaiki pesawat penerbangan jenama Amerika cukup membosankan. Tetapi sejurus bertukar ke MH...semuanya terasa seperti di rumah sendiri. Disambut dengan senyuman pramugari dan pramugara yang menyapa

"Apa khabar encik" (Woww... cakap Melayu... dah 2 minggu tak dengar orang cakap Melayu)

Ditambah pula dengan tray di hadapan penyambung antara aerobridge dan pesawat ada terhidang Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa suratkhabar yang sangat familiar rupanya. Kucapai juga walaupun jika di Malaysia, tak pernah kubeli dan kubaca suratkhabat itu kecuali muka aku masuk dalam rencananya (barulah nampak aku borong sampai 10 naskah untuk diedar bagi pada orang kampung termasuk Pak Bilal yang meroyan tak dapat bermenantukan aku... dulu eksyen).

Duduk sahaja dalam pesawat, dah mula rasa macam di Malaysia. Sedangkan masih jauh lagi. Juruterbang pesawat membuat pengumuman dalam Bahasa Melayu, pramugari berbahasa Melayu, Ahbeng dan Ahseng yang bercakap dalam telefon menggunakan Bahasa Manglish (The one with "...Maaa" and "...mehh" in the end of many sentences)

Tak dilupa Makcik-makcik yang baru balik shopping di Harbour Front sambil membanding-banding cincin siapa lagi mahal...tapi masih dua-dua sama dengan aku duduk kelas Ekonomi (mungkin low-profile).

Dalam movie playlist pula ada cerita-cerita Melayu hasilan David Teoh yang sumpah aku tak panjat wayang kalau nak tengok tapi aku layan juga pasal dalam penerbangan itu dah rindu yang "melayu-melayu" maka cerita Melayu kelas ke-3 pun dilayankan juga. Dalam hati...kelakar juga sambil-sambil membuat kritikan ala Hassan Mutallib pada setiap plot dan sinematografinya.

Pernah dahulu terbang dari Saudi untuk pulang ke Malaysia, dihadiahkan pula dengan 3 dozen kacang Malaysia Airlines oleh seorang pramugara yang meminati karya fotografi ku. Berkaca mata aku tengok kacang-kacang yang dibungkus dengan tisu dapur (untuk cover jgn orang nampak)... katanya nanti orang lain nampak orang lain pun nak banyak macam tu.

Touch-down sahaja, aku sudah gembira macam sudah sampai ke rumah memeluk anak dan isteri. Alhamdulillah. Selimut MAS (pernahlah sekali), Going Places (setiap kali) dan kalau dulu ada sudu-sudu besi berlogo MAS memang selamat masuk dalam beg sebagai cenderamata. Janganlah gelak, aku tahu korang pun begitu juga (harapnya ini bukan sebab kerugian MAS).

Pernah sekali, sewaktu berada di tengah Kota London ternampak kelibat MH berlegar dalam putaran besar untuk menunggu giliran mendarat di Heathrow lalu aku berhenti serta mendongak ke langit dengan tangan di dada. Pelanggan Inggeris aku bertanya...mengapa kamu mendondak dan tersenyum sendiri?

"Aku sedang melihat... BENDERA NEGARAKU SEDANG DITERBANGKAN di atas langit kamu".

Kutip semula bendera yang jatuh
Kita kibarkannya semula
Walaupun ramai yang mencemuh
Biarkan sahaja mereka kerana mereka tidak pernah mengibarkan jalur gemilang setinggi yang kamu biasa lakukan

#ChinUpMAS #WeWillStillFlyMH

SAIFUL NANG
Penerbang MAS

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad